Thursday, 16 October 2014

kepentingan dan sumber-sumber dalam penyelidikan

Sumber ilmu pengetahuan diperolehi daripada beberapa sumber iaitu pengetahuan daripada para pakar dan autoriti, pengalaman sendiri, tradisi, pengetahuan umum dan penyelidikan. Berdasarkan sumber-sumber pengetahuan tersebut didapati bahawa sumber yang paling diyakini diperoleh daripada penyelidikan. Penyelidikan bermaksud sesuatu seni untuk menyingkap pengetahuan baru. Menurut Sakaran (2000), penyelidikan dikatakan sebagai proses untuk mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah setelah membuat analisis dan penelitian yang mendalam tentang sesuatu faktor yang berkaitan. Justeru itu, bagi menyingkap sesuatu pengetahuan yang baru penyelidikan ini memerlukan daya kreativiti dan pemikiran yang mendalam. Penyelidikan ini, sebenarnya membayangkan kepada kita bahawa ilmu tersebut telah pun sedia ada. Oleh itu, kerja penyelidik perlu menyingkap ilmu tersebut melalui pelbagai teknik.
Penyelidikan sosial mengikuti suatu proses sains untuk mewujudkan ilmu baru. Bagi memulakan penyelidikan ini, pakar yang datang daripada pelbagai fakulti dan jabatan mengikut kelompok sains sosial yang tersendiri. Penglibatan mereka adalah berdasarkan kepakaran bidang masing-masing. Kumpulan inilah yang biasanya menjalankan penyelidikan. Mereka menggunakan data untuk menyokong atau menolak teori-teori tertentu. Situasi utama yang menyebabkan para ahli sains ini memulakan penyelidikan adalah sikap-sikap saintifik yang ada dalam diri mereka iaitu sifat ingin tahu (curiousity), ragu-ragu dan ingin tahu dengan lebih mendalam (scepticism) dan juga bersifat objektif. Terdapat dua bentuk data yang digunakan dalam penyelidikan ini. Yang pertama ialah data berbentuk abstrak. Data ini diperoleh dengan cara memerhati dan melihat dunia sosial. Sebagai contoh, idea, andaian, teori, paradigma, konsep, model dan pendekatan yang sesuai. Manakala bentuk data yang kedua ialah data bentuk empirikal. Data bentuk empirikal diambil dengan cara memberi dan mengumpul maklumat mengenai dunia sosial melalui pancaindera. Teknik mengumpul, mengutip, menghimpun dan menambah data dalam keadaan yang lebih konkrit.
Faedah penyelidikan ini adalah dapat mewujudkan sesuatu yang baru daripada hasil penyelidikan. Hal ini wujud daripada pelbagai bentuk persoalan yang cuba diselesaikan dan pembentukan idea baru.  Penyelidikan yang dilakukan dengan sempurna dapat membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi serta menghalang daripada mengulangi kesilapan yang berlaku. Hasil penyelidikan juga menemukan tindakan yang dapat dilakukan untuk mengatasi penyimpangan dalam setiap persoalan kajian.
Dengan adanya penyelidikan ini juga mampu meningkatkan ekonomi. Hal ini kerana pakar-pakar ekonomi dapat mengenal pasti peluang-peluang yang mampu meningkatkan pendapatan negara. Selain itu, ia juga dilihat penting dalam mengisi peluang perlaburan yang baik dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan negara. Seterusnya, penyelidikan yang sempurna mampu meningkatkan keupayaan, pengetahuan dan inovasi negara serta mampu membentuk ‘Minda Kelas Pertama’ dalam kalangan rakyat. Pengetahuan yang luas dan inovasi dapat membantu industri negara menghasilkan barangan atau produk serta perkhidmatan yang berkualiti. Perkara ini membuka peluang ekonomi dan memberi impak positif dalam pembangunan negara kita.
Oleh itu, penyelidikan juga mampu membantu masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berlaku dalam negara. Ketidakseimbangan yang berlaku akibat kekurangan ilmu tanpa adanya penyelidikan yang lengkap tentang sesuatu permasalahan. Hal ini akan mewujudkan jurang perbezaan maklumat dalam kajian yang dikaji. Jadi, jelaslah menunjukkan kajian atau penyelidikan yang dilakukan dapat mengenalpasti masalah yang berlaku serta dapat mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk mengurangkan ketidakseimbangan yang berlaku.
Penyelidikan yang berunsurkan ilmiah yang dilakukan secara berterusan ini mampu meningkatkan tahap dan kualiti hidup rakyat kerana mampu membina tenaga kerja yang lebih produktif. Kajian yang dilakukan ini mampu mengenal pasti kekurangan dan keperluan secara nyata. Hal ini kerana bagi mendapatkan penyelidikan yang tepat, para penyelidik akan mendekati golongan rakyat daripada lapisan masyarakat yang pelbagai dan daripada latar belakang yang berlainan. Perkara ini mampu mencerminkan secara lebih terperinci tentang keperluan yang perlu ditunaikan.
Seterusnya, penyelidikan yang berkesan mampu memperkukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Ini disebabkan oleh para penyelidik dapat menemui masalah dan kegagalan yang dihadapi dengan adanya penyelidikan daripada kajian yang lepas. Oleh itu, punca kegagalan ini dapat dikenalpasti dan diperbaiki dalam masa yang ringkas. Dengan adanya penyelidikan ini, sesuatu perkara itu dapat diselesaikan dan diperkukuhkan dengan jalan penyelesaian yang baru sekaligus dapat memperkukuhkan kedudukan sesuatu perkara. Hal ini kerana setiap penyelidikan mempunyai kepentingan tersendiri mengikut bidang yang dikaji dan akan berjaya sekiranya penyelidikan ini dilakukan secara serius, tepat dan sistematik.
Namun terdapat juga sumber ilmu selain penyelidikan yang menjadi rujukan iaitu melalui tradisi. Tradisi ialah satu cabang ilmu ini telah diketengahkan sejak zaman pertengahan hanya menggalakan pengertian tentang amalan dan isu keagamaan yang bersifat abstrak seperti kajian tentang alam nyata , penciptaan , sifat tuhan baik alam fizikal mahupun sosial. Tradisi ilmu ini bersifat teleological dan diasaskan kepada kepercayaan tuhan adalah sumber pengetahuan. Hal ini kerana tradisi ini bersifat turun temurun, menyebabkan tiada kesahihan dalam sumber yang diperolehi berbanding dengan penyelidikan yang mempunyai maklumat sistematik , teratur dan terkini.
Sumber pengetahuan juga mungkin datang daripada seseorang yang berautoriti dalam bidang tertentu (method of authority). Sebagai contoh kata-kata pemimpin sering dianggap benar dan berautoriti, walaupun kadang kala pemimpin berkenaan bercakap bukan dalam bidang kepakarannya. Di dalam dunia pengetahuan, pandangan orang yang benar-benar pakar dalam bidangnya sering diiktiraf sebagai sumber pengetahuan yang sah. Umpamanya dalam hal koperasi Profesor DiRaja Ungku Aziz diiktiraf sebagai orang yang berautoriti dalam bidang berkenaan. Profesor Khoo Kay Kim ialah orang yang berautoriti dalam sejarah manakala Profesor Awang Had Salleh ialah orang yang berautoriti dalam bidang bahasa, begitu juga dengan tokoh lain di peringkat antarabangsa seperti Kotler dalam bidang pemasaran, Drucker dalam bidang pengurusan, Yukl dalam kepimpinan dan sebagainya. Oleh itu, jelas membuktikan sumber yang didapati daripada para pakar dan berautoriti bergantung kepada kebijaksaannya dalam bersuara walaupun bukan dalam kepakarannya. Namun penyelidikan menekankan aspek kesahihan dalam sumber ilmu kerana memgumpul data untuk dijadikan bahan bukti supaya tiada yang boleh mepertikaikan.
Selain itu, pengalaman seseorang juga boleh dijadikn sebagai sumber ilmu. Empirisme berasal daripada kata yunani empeirisko bererti pengalaman. Menurut aliran ini manusia memperolehi pengetahuan berdasarkan pengalaman yang lalu. Pada awalnya manusia tidak mengetahui apa-apa, namun setelah melalui pelbagai jenis pegalaman ia dijadikan ilmu pengetahuan sebagai panduan. Sumber pengetahuan ini diperolehi daripada pengamatan iaitu melalui pancaindera seperti pemerhatian, meramal dan memahami.
Pengetahuan umum didefinisikan sebagai ilmu dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut keadah tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dalam bidang ilmu tersebut. Dalam zaman moden pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengetahuan zaman moden ilmu merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Kewujudan perkara lain dalam keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan sebagai bukti dalam pengetahuan. Selain daripada itu, mereka berpendapat bahawa ajaran agama terkeluar secara automatik daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata. Secara kesimpulannya, ini membuktikan bahawa pengetahuan tidak dapat digunakan sepenuhnya dalam kajian harian bidang sains sosial berbanding penyelidikan kerana terdapat sesetengah sumber mahupun pendapat yang tidak selari dengan teori sains sosial.

Kesimpulan, ilmu pengetahuan ini haruslah bersifat positif,ilmiah, objektif dan universal. Objektif ilmu pengetahuan ini mestilah melibatkan antara dua pihak iaitu subjek dan objek. Pada pihak subjek iaitu para penyelidik itu sendiri perlulah memiliki ilmu sains supaya melalui penyelidikan ini, teori-teori ilmiah dapat dijelaskan melalui fakta-fakta dan kejadian-kejadian yang dapat diperhatikan. Pada pihak objek, aspek-aspek dan dimensi lain tidak dapat diukur dengan tepat kerana hanya diperolehi melalui pemerhatian. Jadi, penyelidikan ini bukan sahaja dalam bentuk ramalan, pengamatan malah melalui pertimbangan ilmu sains secara matematik bagi memastikan ilmu pengetahuan itu bebas daripada penilaian yang bersifat subjektif dan mempunyai kebenaran yang tinggi.

No comments: