Monday, 13 June 2016

Perkahwinan terlarang

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Saya ingin menceritakan tentang perkahwinan terlarang yang umumnya rata-rata kita memberi anggapan bahawa perkahwinan ini yang dilarang oleh ibubapa terhadap sepasang kekasih. Kiranya percintaan pasangan kekasih tersebut tidak direstuilah oleh ibubapa mereka. Lebih tepatnya, percintaan terhalang.. ceewah.. gitu..

Dalam islam, seorang lelaki wajib mengikuti segala arahan ibubapa nya terutamanya ibunya melainkan yang bercanggah dengan islam. Jadi, jelas disini apabila ibu si lelaki berkenaan tidak menyukai pasangan lelaki itu, maka lelaki itu perlu menuruti kehendak ibunya melebihi kehendaknya sekiranya ibunya memiliki bukti atau alasan yang kukuh yang diyakini dapat memusnahkan kebahagiaan anaknya di masa hadapan. Sebagai contoh, mungkin si ibu rasa bakal menantunya itu berpotensi menyusahkan anaknya atau tidak menghormati orang tua.

Malah di sebut dalam suatu hadis, seorang sahabat Rasulullah s.a.w bertanyakan kepada baginda, ibunya memintanya menceraikan isterinya, jadi perlukah dia menceraikan isterinya? Rasulullah s.a.w menjawab dia perlu menceraikan isterinya kerana yang lebih utama bagi lelaki itu adalah ibunya. Ditambah lagi, ibunya tahu apa yang terbaik untuk anaknya. Jadi, wujudlah perkahwinan yang dilarang atau tanpa izin.

Itu hanya secara umum saja..

Dalam islam, perkahwinan terlarang ini ada 4 jenis iaitu Misyar, Urfi, Sirri dan Mut’ah.

Antara 4 ni biasa kita dengar Mut’ah ja kan. Okey, apa dia jenis-jenis perkahwinan macam ni? Kenapa dikatakan terlarang dalam islam? Apa yang menyebabkan ia menjadi haram?

Perkahwinan Misyar ( perkahwinan dalam perjalanan )

Perkahwinan Misyar ini merupakan perkahwinan seorang lelaki dengan wanita yang kaya ataupun berada. Misyar bermaksud berjalan atau perjalanan. Atau juga dipanggil sebagai pemergian.
Perkahwinan ini cukup segala rukun nikah. Ada pendapat yang mengatakan perkahwinan ini sah. Namun ada yang kata tidak sah. Kenapa?

Perkahwinan ini membenarkan lelaki berkahwin dengan seorang wanita tanpa perlu menafkahi wanita itu terutama dari segi pakaian, makanan dan tempat tinggal. Wanita itu masih terus tinggal bersama keluarganya. Dikatakan kerana wanita ini telah mampu memiliki segala kemewahan Cuma memerlukan lelaki untuk memenuhi fitrah biologinya saja.

Perkahwinan ini juga dilakukan oleh lelaki yang terpaksa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. Sebagai contoh, lelaki ini perlu tinggal di Johor untuk tempoh setahun atas urusan kerjanya, lelaki ini mengambil keputusan untuk bernikah misyar dengan seorang wanita. Setelah habis tempoh setahun, dia pon pergi ke tempat asalnya di Kedah dan meninggalkan isterinya tanpa nafkah dan lelaki itu berkahwin pula dengan wanita lain tanpa pengetahuan isterinya tadi tetapi dia tidak pula menjatuhkan talak ke atas isterinya. Malah meninggalkan isterinya berbulan-bulan. Kemudian, bila dia rasa dia memerlukan isteri pertamanya, dia kembali pula ke Johor.

Dikatakan perkahwinan jenis ini sah kerana yang pertama cukup rukun ijab  qabul , yang kedua, sewaktu pernikahan berlangsung, si lelaki telah mensyaratkan kepada wanita bahawa wanita itu tidak boleh menuntut apa-apa hak yang berhubung dengan nafkah harta daripada suaminya dan sekiranya isterinya menyetujuinya. Namun, dikatakan tidak sah, kerana mendiskriminasi golongan wanita.

Perkahwinan ini berbeza dengan mut’ah kerana tiada spesifik tahun atau bulan yang menyebabkan terbatalnya perkahwinan itu. Namun begitu, perkahwinan ini masih hadnya hanya beristeri empat sahaja. Sekiranya suami berkahwin dengan wanita berlainan tempat, si isteri tidak berhak menuntut hak penggiliran malam bersama suami. Suami juga boleh memilih dengan wanita mana yang ingin bersamanya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong perkahwinan misyar kerana berpendapat perkahwinan misyar juga dibenarkan dan tidak bercanggah dengan hukum Islam, asalkan seseorang wanita itu bersetuju. Bagaimanapun, beliau menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin misyar membuat perjanjian bertulis mengenai kesediaan wanita yang ingin dikahwini itu bagi mengelak masalah berbangkit pada masa depan.
“Wanita perlu membuat pengakuan bertulis bahawa dia sanggup tidak diberi nafkah zahir atau melakukan giliran kerana bersedia menanggung risiko. “Soal menghina wanita tidak berbangkit sama sekali kerana wanita sudah bersetuju berkahwin dengan cara itu, tambahan pula ia tidak salah dari segi hukum. “Itu hak wanita, jika dia kaya bukan setakat duit malah rumah pun dia boleh beri kepada suami yang hendak dikahwininya,” katanya.
Maksudnya, perkahwinan ini pada asalnya dilarang kerana tidak menjaga kemaslahatan dan hak wanita tapi dibolehkan sekiranya wanita itu bersetuju untuk hidup bersama suaminya tanpa perlu menuntut nafkah harta dari suaminya. Kiranya perkahwinan jenis ini hanya untuk menghalalkan seks sahaja tanpa perlu lelaki tersebut memegang sebarang tanggungjawab. Sekiranya wanita itu mengandung, suaminya tidak dipertanggungjawabkan untuk menafkahi anak tersebut kerana telah dipersetujui oleh wanita itu.

Kelebihan bagi wanita yang berkahwin Misyar ini :-

Pertama, lelaki hanya diperlukan sebagai penderma sperma sahaja tetapi si suami tidak berhak menuntut bayaran atas sperma yang dikeluarkan mereka seperti lelaki gigolo.

Kedua, wanita tidak perlu membuat atau menerima perintah mahkamah untuk memfailkan perebutan penjagaan anak. Kerana lelaki tersebut tidak mempunyai hak langsung ke atas anak. Namun, anak boleh berbintikan si suami kerana pernikahan mereka tetap sah. Cuma lelaki tiada sebarang tanggungan la.

Ketiga, pernikahan ini sememangnya dinantikan oleh wanita yang fobia untuk berkahwin atau fobia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ingin bebas dengan kesibukan kerjanya dan wanita ini pula telah mampu untuk menampung hidupnya dengan anak nya secara ibu tunggal.

Keempat, wanita tidak perlu melayan lelaki dari segi makan, pakaian mahupun kerenah lelaki kerana lelaki tersebut hanya datang untuk memberi khidmat seks kemudian kembali ke tempat asalnya atau menemui isteri lain pula.

Kelima , lelaki itu tidak boleh menuntut harta sepencarian kerana dia tidak menyumbang kepada pendapatan keluarga.

Jangan pelik, kerana memang ada perkahwinan jenis ini tetapi tidak ramai wanita yang sanggup menerima risiko, wanita yang mengamalkan perkahwinan ini hanyalah wanita yang kaya raya dan tidak mahu ada komitmen sebagai isteri.

Perkahwinan Al-‘Urfi ( perkahwinan bawah tangan )

Perkahwinan antara seorang lelaki dengan wanita yang memenuhi syarat ijab qabul sahaja. Ada saksi, ada wali, ada mahar. Perkahwinan ini biasanya menggunakan wali hakim untuk berkahwin. Namun, ada juga sesetengah pasangan bapa wanita itu sudi untuk menjadi wali. Tidak diadakan majlis secara besar-besaran kerana perkahwinan itu ingin dirahsiakan tetapi pernikahan tersebut tetap sah. Ataupun perkahwinan ini disebut sebagai perkahwinan tidak rasmi. Hal ini kerana perkahwinan ini bukan sahaja tidak melakukan majlis tetapi tidak jugak didaftarkan secara rasmi di pejabat agama sebagai pengesahan perkahwinan.

Konsep perkahwinan ini banyak dilakukan oleh golongan pelajar bagi mengelakkan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung untuk melakukan majlis atau sekiranya berlaku penceraian pada masa hadapan kelak. Terdapat juga golongan kaya yang menggunakan perkahwinan ini untuk berkahwin dengan golongan wanita yang miskin yang tinggal di pinggir bandar terutamanya di negara arab. Namun, lelaki itu tetap tidak boleh memiliki isteri lebih daripada empat orang. Secara tidak langsung, dapat melihat perkahwinan ini hanya dilakukan untuk berseronok dan memuaskan nafsu sahaja.

Walaupun perkahwinan ini sah, namun tiada jaminan untuk pihak isteri dan anak-anak sekiranya berlaku penceraian, keganasan rumah tangga atau sebagainya. Namun, perkahwinan ini tidak seperti perkahwinan misyar. Hal ini kerana pihak lelaki masih perlu menjalankan tanggungjawab seperti biasa , beri nafkah harta dan batin kepada isteri dan isteri perlu taat kepada suami seperti biasa. Cuma, mereka tidak mendaftarkan perkahwinan kerana bebanan adat perkahwinan yang memaksa untuk melakukan majlis dan sebagainya.

Masalah perkahwinan Urfi ini ialah :-

Pertama, tiada dokumen yang sah untuk bukti pernikahan menyukarkan pihak suami isteri untuk menginap di hotel awam atau rumah sewa persendirian.

Kedua, boleh menyebabkan kemarahan ibu bapa pasangan , jiran-jiran yang tidak mengetahuinya dan berlaku fitnah dalam masyarakat.


Ketiga, masalah apabila wanita itu hamil dan terbiar, anak yang dilahirkan itu tidak dapat didaftarkan dan tidak akan memiliki sijil lahir yang membolehkannya untuk melanjutkan pelajaran. Kecuali si suami membuat permohonan rasmi kepada pejabat agama untuk mendapat perkahwinan dan mendaftar kelahiran anak. Tetapi mereka tidak perlu diijab kabul semula. Namun, ianya agak menyusahkan bagi kedua-dua pihak.

Keempat, sekiranya berlaku penceraian, wanita ini tidak boleh menuntut apa-apa hak daripada si suami kerana tidak didaftarkan secara bertulis. Malah, untuk proses penceraian pun merumitkan.

Perkahwinan As-Sirri (perkahwinan rahsia)

Perkahwinan ini berbeza dengan perkahwinan urfi kerana perkahwinan urfi sah tetapi yang salah, Cuma tidak didaftarkan secara rasmi. Manakala perkahwinan sirri ini pernikahan hanya dilakukan bersaksikan dua orang saksi, tanpa pengetahuan wali si wanita,tanpa pemberian mahar, tanpa pemberian nafkah, tanpa walimah dan tanpa tempat tinggal khusus buat si isteri. Perkahwinan ini dicatatkan dalam kertas kecil atau malah tidak dicatatkan langsung. Perkahwinan ini juga tidak didaftarkan di pejabat agama

Perkahwinan ini dianggap tidak sah kerana tidak memenuhi syarat pernikahan yang betul. Sekiranya mereka melakukan hubungan seks,mereka dianggap berzina kerana pernikahan mereka tidak diiktiraf oleh agama dan berkemungkinan juga anak yang lahir akan dianggap sebagai anak luar nikah kerana tidak boleh didaftarkan dengan rasmi. Kalau si suami ingin mengusahakan sijil lahir untuk anaknya, mereka perlu akad nikah semula dan mendaftarkan pernikahan tersebut.

Perkahwinan Mut’ah ( perkahwinan atas perjanjian)

Mut’ah adalah bersenang lenang dengan wanita tetapi kamu tidak menginginkannya kekal bersamamu dan kenikmatan kahwin.  

Perkahwinan mut’ah ini adalah akad perkahwinan yang dilakukan dalam tempoh waktu tertentu dengan mahar yang ditetapkan  sama ada dalam tempoh yang panjang mahupun tempoh yang singkat. Perkahwinan ini tamat setelah tempoh akad itu berakhir walaupun tanpa menjatuhkan talak.

Dalam perkahwinan ini tetap sah sepanjang pernikahan berlangsung kerana adanya mahar, saksi, dan majlis namun yang tidak dibenarkan dalam islam kerana ia tidak menjaga hak wanita itu sendiri dan juga hak nasab keturunan anak-anak. Hal ini kerana perkahwinan ini tidak mewajibkan pihak suami untuk menanggung pemberian nafkah atau tempat tinggal buat isterinya dan tidak berlaku proses perwarisan harta sekiranya salah seorang meninggal dalam tempoh perkahwinan itu berlangsung.

Status wanita yang melakukan nikah mut’ah ini sama seperti wanita sewaan atau hamba abdi kerana perkahwinan ini hanya bertujuan untuk menghalalkan seks sahaja bukan untuk berkongsi kehidupan. Tempoh pernikahan mut’ah ini paling singkat ialah sehari atau sekali persetubuhan sahaja.

Dalam pernikahan mut’ah ini, lelaki tersebut tidak perlu menyelidik sama ada wanita tersebut telah berkahwin atau belum. Mut’ah ini biasanya diamalkan oleh penganut syiah.

#maaf panjang sikit.

thanks sudi baca ye.. :)

  ~ i'Ll LoVeD u 4 a ThOuSaNd YeArS ~

No comments: